Cabaran Kuda Lasak Piala Menteri Besar Terengganu Bermula

Saturday, 02 March 2019

Oleh Husaif Mamat

SETIU, 2 Mac - Cabaran Kejohanan Kuda Lasak Piala YAB Menteri Besar Terengganu di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP), Lembah Bidong secara rasminya bermula hari ini.

Majlis pelepasan (flag off) bagi semua kategori pertandingan itu telah disempurnakan oleh Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar diiringi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.

Hadir sama dalam majlis pelepasan itu ialah Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Dato' A. Rahman Yahya, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Zahari Mohd Azhar, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.

Kejohanan tersebut mempertandingkan tiga kategori utama iaitu 80 km Concours de Raid D' Endurance International (CEI) serta 80 km dan 40 km Concours de Raid D' Endurance National (CEN).

Menurut Ketua Sekretariat Kejohanan, Faridah Md Ali, acara tahunan yang bermula sejak 2017 ini menyediakan hadiah yang lumayan buat peserta.

Jelasnya, peserta terbaik yang berjaya menamatkan acara akan menerima hadiah secara individu dan berkumpulan.

"Kejohanan ini merupakan acara tahunan yang bermula sejak 2017.

"Bagi acara CEI 80 km, setiap peserta yang menamatkan acara di tempat pertama hingga kelima akan menerima hadiah, manakala bagi kumpulan, 3 terbaik bakal menerima hadiah.

"Juara individu bagi kategori itu akan menerima RM 3,500, manakala juara untuk berkumpulan pula akan membawa pulang RM 5,000," katanya.

Kejohanan yang melibatkan seramai 90 peserta dari dalam dan luar negara itu akan berlangsung selama dua hari.

Acara penyampaian hadiah akan berlangsung esok sejurus selepas acara bagi ketiga-tiga kategori itu berakhir.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin akan berangkat mencemar duli untuk menyampaikan hadiah buat para pemenang esok.

Sumber : TEGANUKITA

 

 

THT Rampas Kembali Kejuaraan Piala Hoki TNB 2019

Saturday, 02 March 2019

Oleh 'Afini Yahaya

Foto ihsan - Malaysian Hockey Confederation
KUALA LUMPUR, 2 Mac - Pasukan Hoki Terengganu (THT) berjaya merampas kembali kejuaraan Piala TNB 2019 selepas menundukkan seteru mereka Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 2-1 pada perlawanan akhir yang berlangsung hebat di Stadium Hoki Tun Razak, Kuala Lumpur, hari ini.

Kali terakhir THT memenangi kejuaraan Piala TNB pada tahun 2017 ketika menewaskan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) 5-4 selepas perlawanan terikat 4-4 dan kejayaan mereka merampas kembali kejuaraan itu bertambah manis apabila penjaga gol Mohamad Hazrul Faiz Ahmad Sobri diangkat selaku pemain terbaik perlawanan akhir dan pemain import mereka, Jang Jonghyun muncul selaku penjaring terbanyak TNB Liga Hoki Malaysia saingan Liga Perdana dan Piala TNB dengan 22 gol.

Pengendali THT, I Vikneswaran yang ditemui selepas tamat perlawanan tidak dapat menyembunyikan kegembiraan apabila pasukan yang hanya dibentuk secara lengkap seminggu sebelum kempen 2019 bermula berjaya untuk muncul selaku juara keseluruhan bagi musim 2019.

Vikneswaran turut menambah faktor pemain yang beraksi di pentas akhir buat kali pertama juga menjadi penyebab mereka memulakan perlawanan dengan agak perlahan kerana tekanan yang dirasai oleh rata-rata pemain yang tidak mempunyai pengalaman itu menyebabkan mereka takut untuk melakukan kesilapan ketika di dalam perlawanan.

“Permulaan permainan pasukan kami agak kurang memuaskan kerana mungkin kerana faktor pertama kali beraksi di pentas berbanding pasukan UniKL yang merupakan juara bertahan dan dibarisi rata-rata pemain cukup berpengalaman.

“Tekanan di perlawanan akhir cukup berbeza selain tekanan itu juga menyebabkan pemain-pemain yang tidak pernah bermain di final takut untuk melakukan kesilapan tetapi ianya dapat diatasi pada suku kedua dan ketiga namun sayangnya kami melepaskan satu gol.

“Kemenangan hari ini juga cukup penting buat kami kerana tahun ini THT berada di bawah pengurusan yang baru dan pasukan ini dibentuk secara lengkap seminggu sebelum saingan 2019 bermula tambahan kondisi pasukan juga agak kurang daripada pasukan lain kerana kami dibarisi oleh pelbagai pemain yang tidak mengetahui budaya Terengganu.

“Tetapi apa yang penting selepas melalui pelbagai situasi serta kesusahan kami berjaya untuk menanganinya dan hari ini kami beraksi di pentas final serta berjaya untuk menewaskan UniKL 2-1 di pentas akhir,” jelasnya.

THT membuka tirai jaringan pada minit ke-25 menerusi Jang Jonghyun yang menjaringkan gol ke-22 peribadinya sepanjang musim ini hasil pukulan sudut penalti dan gol kedua THT hadir pada minit ke-40 menerusi satu lagi jaringan pukulan sudut penalti kali ini disempurnakan oleh seorang lagi pemain import Korea Selatan, Jung Manjae.

Bagaimanapun UniKL berjaya untuk merapatkan jurang jaringan pada minit ke-44 apabila kelebihan pukulan sudut penalti yang turut dimiliki mereka berjaya disempurnakan Muhammad Razie Abd Rahim dan kedudukan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekaligus mengangkat THT selaku juara keseluruhan musim 2019.

Terdahulu berlangsung pertembungan di antara Tenaga nasional Berhad (TNB) dan Maybank bagi penentuan tempat ketiga dan keempat yang menyaksikan TNB muncul pemenang tempat ketiga selepas membelasah lawan mereka 7-2.

SUMBER: MALAYSIAN HOCKEY CONFEDERATION
Foto ihsan - Malaysian Hockey Confederation

 

 

RM60 juta untuk bangun infrastruktur sukan, belia di Terengganu

Monday, 18 February 2019

Oleh Hanneeyzah Bariah Baharin

KUALA NERUS: Kementerian Belia dan Sukan akan menyalurkan peruntukan berjumlah RM60 juta tahun ini untuk pembangunan infrastruktur sukan dan belia di Terengganu.

Menterinya, Syed Saddiq Syed Syed Abdul Rahman, berkata peruntukan itu termasuk untuk memulakan pembinaan tiga projek yang dicadangkan kerajaan sebelum ini iaitu Velodrom di Dungun dan masing-masing sebuah Kompleks Sukan Mini di Jabi, Besut dan Telemong, Hulu Terengganu.

“Kita tahu Terengganu terkenal sebagai negeri yang banyak melahirkan atlet berbasikal. Bukan sahaja Azizul Hasni Awang, tetapi juga ramai atlet lain. Saya juga difahamkan Terengganu Cycling Team (TSG) akan menyertai Le Tour de Langkawi (LTdL) tahun ini.

“Selain sukan berbasikal, KBS dengan kerjasama kerajaan negeri juga akan memberi tumpuan untuk pembangunan sukan air di sekitar Pulau Duyong dan kawasan pantai di Terengganu,” katanya pada sidang media selepas Sesi Townhall - Aspirasi Buat Belia di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini, hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah; Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail dan Naib Canselor UniSZA, Prof Datuk Dr Hassan Basri Awang Mat Dahan.

Terdahulu Syed Saddiq turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara UniSZA dan Majlis Sukan Negara serta Majlis Sukan Negeri Terengganu bagi kerjasama pembangunan atlet negeri ini.

Beliau berkata, MoU itu sangat penting kerana ia berkait rapat dengan kebajikan atlet selaras hasrat kerajaan Persekutuan dan negeri dalam memastikan langkah proaktif menempatkan atlet muda ke universiti.

“Kita nak pastikan setiap negeri ada satu universiti awam yang akan dijadikan tempat bagi atlet belajar, boleh dapat pemindahan kredit, bantuan kewangan melalui biasiswa dan pada sama sama mungkin jadual pengajian yang lebih fleskibel.

“Kita dah buat dengan Universiti Malaya dan beberapa universiti lain, swasta pun ada dengan Help University dan Taylor’s University.

“Jadi kita nak pastikan ia diperluaskan supaya pencarian dan latihan bakat boleh dibuat oleh Majlis Sukan Negeri dan tak perlu semuanya dibuat di Kuala Lumpur atau di Majlis Sukan Negara sahaja,” katanya.

Sumber : BERITA HARIAN

 

 

TSG Shimano Yellowride 2019 Bakal Jadi Acara Tahunan Terengganu

Sunday, 17 February 2019

Oleh Mohd Irsyadi Abu Bakar

KUALA TERENGGANU, 17 Februari - Acara berbasikal TSG Shimano Yellowride 2019 bakal dijadikan acara tahunan bagi negeri Terengganu dalam usaha membudayakan cara hidup sihat dalam masyarakat.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penganjuran aktiviti santai berbasikal (fun ride) secara besar-besaran anjuran Terengganu Cycling Team (TSG) dan Shimano Singapore Pt. Limited itu turut bertujuan memperkenalkan TSG kepada masyarakat luar.

"Acara ini dianjurkan sempena kejayaan bersejarah TSG memenangi jersi kuning (juara keseluruhan) dalam Le Tour de Langkawi 2018 lalu.

"Selain itu, aktiviti ini juga dapat mencungkil bakat-bakat baharu dengan penyertaan remaja dan belia dalam penganjuran kali ini," katanya ketika ditemui media selepas menyempurnakan Flag Off acara tersebut di Pantai Batu Burok semalam.

Para peserta berkayuh merentasi empat daerah iaitu Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Setiu dan Hulu Terengganu dengan laluan sepanjang 100 km.

Seramai 2019 peserta menyertai penganjuran kali ini terdiri daripada penunggang basikal seluruh negara.

Paling menarik, acara tersebut diserikan dengan kehadiran ikon komuniti berbasikal negara iaitu Dato' Bakar Nordin, Sulaiman Abd Lah atau lebih dikenali 'Man Gerek' dan Sofian Mohd.

Wan Sukairi juga memaklumkan, acara itu mempromosikan sukan berbasikal sebagai produk pelancongan negeri itu kepada masyarakat luar.

"Kita memperoleh penajaan lebih RM200,000 dalam pelbagai bentuk daripada banyak pihak dan tidak mustahil ia mampu diadakan secara tahunan serta mampu menarik ramai peserta dan pengunjung.

"Bahkan, penganjuran kali ini juga telah disertai beberapa penunggang basikal daripada negara Singapura, Thailand dan Indonesia," katanya.

Acara tersebut turut dihadiri Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pengurusan), Dato' Tengku Farouk Hussain Tengku Abdul Jalil, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ketua Pegawai Eksekutif TSG, Farhan Abdul Wahab, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Mohd Shamsol Bahrin Mohd Kamil serta wakil Shimano Singapore Pt.Limited.

Sumber : TEGANUKITA

 

 

Azizulhasni sedia rampas kembali gelaran raja keirin

Monday, 11 February 2019

Oleh Haika Khazi
mfaizul@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal kebangsaan, Azizulhasni Awang kini berada di landasan terbaik untuk merampas gelaran raja keirin dunia menerusi penyertaan pada Kejohanan Trek Berbasikal Dunia UCI 2018 di Pruszkow, Poland pada 27 Februari hingga 3 Mac ini.

Minggu lalu, pelumba berasal dari Dungun Terengganu yang dikenali sebagai The Pocket Rocketman itu menduduki tempat kedua dalam acara keirin selain memenangi dua kali acara pecut individu di siri perlumbaan Six Days di Melbourne, Australia,

"Syukur pretasi saya di kejohanan Six Days di Melbourne amat memberangsangkan. Pada saya perlumbaan berkenaan sebagai medan ujian atau pemanas badan untuk menghadapi Kejohanan Dunia nanti.

"Berdasarkan pencapaian berkenaan, saya berasakan kini berada di landasan betul untuk menghadapi saingan itu. Saya meletakkan sasaran untuk ke final acara keirin. Jika berjaya, Insya-Allah, saya boleh menang podium," katanya ketika dihubungi wartawan BH Sukan di sini, sebentar tadi.

Dalam pada itu, Azizulhasni menegaskan akan berusaha melakukan yang terbaik untuk memecahkan catatan masa peribadi terbaik dalam acara pecut individu lelaki di Kejohanan Dunia nanti.

"Untuk acara pecut pula, saya nak cuba pecahkan rekod peribadi terlebih dahulu. Jika berjaya Insya- Allah boleh bersaing sekurang-kurang sehingga ke peringkat separuh akhir acara pecut individu," katanya.

Azizulhasni sebelum ini gagal mempertahankan gelaran raja keirin pada Kejohanan Dunia 2018 di Apeldoorn, Belanda, selepas terkandas pusingan repechage akibat terkena serang virus dan mengalami batuk yang teruk.

Sumber : BERITA HARIAN ONLINE

 

View more news