Perutusan

Assalamualaikum w.b.t.

Pertamanya saya mengucap syukur di atas kurniaan Allah SWT serta kepercayaan Kerajaan Negeri Terengganu kerana memilih saya untuk menerajui Majlis Sukan Negeri Terengganu. Perlantikan ini saya anggap sebagai satu amanah yang besar untuk meneruskan legasi pengarah-pengarah terdahulu bagi memastikan Terengganu terus kekal sebagai kuasa sukan negara.

Beberapa pendekatan baru dalam pembangunan sukan yang selaras dengan keperluan sukan masa kini yang semakin kompetitif akan diperkenalkan. Pendekatan-pendekatan ini bermatlamat untuk meneruskan kecemerlangan anak-anak negeri dalam bidang sukan serta mampu menyerlah di peringkat antarabangsa secara konsisten.

Pembangunan sukan di Terengganu juga adalah untuk melahirkan seberapa ramai olimpian yang berjaya. Untuk melahirkan olimpian-olimpian ini, persiapan SUKMA kita mesti dilaksanakan secara bersepadu, sistematik dan dibantu dengan program-program pembangunan yang seimbang serta berani menggunakan kaedah-kaedah saintifik sains sukan terkini.

Antara pendekatan yang telah dan perlu diambil untuk meneruskan kecemerlangan sukan di Terengganu ialah setiap sukan perlu ada hala tuju (master plan) masing-masing yang selaras dengan “HALA TUJU PEMBANGUNAN SUKAN 10 TAHUN NEGERI TERENGGANU” tanpa mengira sempadan hiraki pentadbiran. Pelan induk ini akan dinilai dari tahun ke tahun agar perlaksanaannya berjalan mengikut perancangan dan strategi khusus melalui sokongan pentadbiran serta pengurusan yang cekap dengan mengurangkan karenah-karenah birokrasi pentadbiran.

Kepada semua kakitangan, saya berharap agar kita menerapkan sikap professionalis dan amanah dalam kerja-kerja seharian, InsyaAllah setiap matlamat, misi dan visi yang dipertanggungjawabkan ke atas kita akan tercapai dan akan berterusan walaupun apa jua rintangan mendatang.

Akhir kata, terima kasih yang tidak terhingga kepada Kerajaan Negeri Terengganu di bawah kepimpinan YAB Menteri Besar yang sentiasa memberi sokongan, dorongan dan bantuan secara berterusan di dalam memajukan sukan di negeri ini.

Kepada semua kakitangan MSNT pula, marilah kita sama-sama bekerja ke arah menterjemahkan slogan “Terengganu Kuasa Sukan Negara” agar ianya sentiasa menjadi relevan dalam kemampuan yang ada.

Sekian, terima kasih.

Ibni Amin Bin Busu
25 Januari 2016


Objektif

i. Untuk meningkatkan pembangunan sukan prestasi tinggi secara holistik dan berstruktur serta mempastikan kemudahan sukan yang mencukupi bagi kemajuan sukan sehingga peringkat akar umbi.

ii. Untuk melahirkan atlet-atlet yang cemerlang dan berdaya saing serta mampu mengharumkan nama negeri dalam temasya SUKMA, kejohanan-kejohanan kebangsaan dan antarabangsa.

iii. Untuk menyelaras Persatuan-Persatuan Sukan Negeri dan lain-lain agensi sukan dalam negeri bagi merancang, melaksana, memantau dan menilai keberkesanan pembangunan sukan termasuk memperkukuhkan struktur pentadbiran dan pertandingan sukan masing-masing.

iv. Untuk menjana dan mengurustadbir kewangan Majlis secara efisyen dan berhemah bagi mencapai matlamat kecemerlangan pembangunan sukan negeri.

v. Untuk mempertingkatkan dan memantapkan struktur pembangunan kejurulatihan dan kepegawaian persatuan-persatuan sukan bagi melahirkan jurulatih, pegawai teknikal dan pentadbir sukan yang berkemahiran tinggi.


Sejarah

Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) telah ditubuhkan pada 21 Februari 1972 melalui Akta Majlis Sukan Negara Malaysia 1971 di bawah Seksyen 7(1). Pada awal penubuhannya, tugas-tugasnya diletakkan di bawah tanggungjawab Penolong Setiausaha Kerajaan Pendidikan, Kesihatan, Belia dan Sukan, sehinggalah ianya ditadbir sendiri dengan perlantikan pengarah pertama pada Oktober 1988. Penubuhan Majlis Sukan Negeri Terengganu telah dirasmikan oleh YB Dato’ Hamzah bin Haji Abu Samah, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan Malaysia pada 14 Jun 1972.

Lanjutan daripada itu, satu struktur organisasi MSNT telah diwujudkan bagi memajukan sukan di Terengganu secara menyeluruh dan sistematik. Matlamat penubuhan MSNT adalah selari dengan dengan Dasar Sukan Negara iaitu bertanggungjawab sepenuhnya ke arah pembangunan serta pencapaian cemerlang dalam semua bidang sukan yang dipertandingkan. Bagi mencapai matlamat ini satu usaha kolektif yang mengembelingkan secara langsung semua agensi kerajaan atau bukan kerajaan, pertubuhan-pertubuhan sukan, Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Malaysia Terengganu, badan-badan sukarela serta orang-orang perseorangan telah diwujudkan bagi meningkatkan mutu sukan di negeri ini.


Visi/Misi

VISI
Melaksanakan program pembangunan sukan yang bersepadu, mampan dan berstruktur bagi melahirkan lebih ramai atlet yang seimbang bertaraf kebangsaan dan antarabangsa.

MISI
Mempertingkatkan pembangunan sukan prestasi tinggi secara holistik dan menyeluruh hinggga ke akar umbi bagi melahirkan atlet-atlet yang cemerlang, berdaya saing dan bekerjaya yang mampu menaikkan imej negeri di persada Negara dan antarabangsa serta dapat menjalin perpaduan, integrasi nasional dan bersemangat patriotik melalui sukan.


Senarai Pengarah

i. Mohd Azemi bin Awang Chik (Okt 1988 -Dis 1993)
ii. Mohammad bin Muda (1 Feb 1994 - 30 Jun 1995)
iii. Mustofa bin Abd. Rahman (1 Jul 1995-31 Jul 1997)
iv. Mohammad bin Muda (1 Aug 1997-14 Dis 2002)
v. Haji Mohamad Kamil bin Othman (15 Dis 2002-19 Apr 2004)
vi. Haji Arpin bin Draman (20 Apr 2004-30 April 2006)
vii. Mohamad Nor bin Ibrahim (1 Mei 2006– 31 Dis 2006 )
viii. Rosdi bin Awang (1 Jan 2007 – 31 Dis 2010)
ix. Haji Zainal Abidin bin Hussin (1 Jan 2011- 1 Jun 2014)
x. Ab Rasid bin Jusoh (2 Jun 2014 - 2 Jan 2016)
xi. Ibni Amin bin Busu (3 Jan 2016 - )


Jawatankuasa Pengurus MSNT 2018/2019

Pengerusi
YB Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu

Timbalan Pengerusi
YB Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu (Timbalan Pengerusi I)

YB Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu (Timbalan Pengerusi II)

Bendahari
YB Pengawai Kewangan Negeri

Setiausaha
Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu

Penolong Setiausaha
Timbalan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu

Ahli-Ahli
Mufti Negeri Terengganu

Pengerusi Majlis Sukan Daerah Kuala Terengganu

Pengerusi Majlis Sukan Daerah Setiu

Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu

Pengarah Belia dan Sukan Negeri Terengganu

Yang DiPertua, Persatuan Lawn Bowls Negeri Terengganu

Yang DiPertua, Persatuan Olahraga Amator Terengganu

Yang DiPertua, Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu

Yang DiPertua, Persatuan Kanu Negeri Terengganu

Ketua Pengarah
Majlis Sukan Negara Malaysia

Ketua Pegawai Eksekutif
Institut Sukan Negara (ISN)

Y.Bhg. Datuk Bandar
Majlis Bandaraya Kuala Terengganu

YM. Datuk Tengku Farok Hussin bin Tengku Abdul Jalil

Tuan Haji Zainal Abidin bin Hussin

Prof. Madya Dr. Mohamad Razali bin Abdullah