KUALA NERUS, 7 September- Atlet Majlis Sukan Daerah (MSD) Setiu, Muhammad Zulfiqar Ismail dan Nurul Wardatul Huwaida Mohd Hamka yang mewakili MSD Kuala Nerus dinobatkan sebagai raja dan ratu pecut Sukan Terengganu (SUTERA) edisi pertama bagi tahun 2019.
Zulfiqar yang juga atlet kebangsaan mengekalkan penguasaannya walaupun bersaing hebat dalam acara berkenaan apabila menewaskan pesaing dari Kuala Nerus, Muhammad Hasrul Nazmi Badrul dan Ruslem Zikry Putra Roseli dari Kuala Terengganu.
Lebih menarik, ketiga-tiga mereka mencatatkan masa larian 10.3s dalam saingan tersebut, semalam.
Bagi kategori wanita, Nurul mencatatkan masa larian 11.8s untuk meraih pingat Emas mengatasi atlet Dungun, Nurul Alyssa Azman (11.9s) di tempat kedua dan atlet Setiu, Siti Nur Zullaika Ramli (11.9s) yang memungut Gangsa.
Catatan tersebut menjadikan Nurul sebagai pencabar baharu buat ratu pecut Sukan Malaysia (SUKMA) kelahiran Terengganu, Azreen Nabila Alias yang mencatatkan masa terpantas 11.81s di Ipoh, tahun lalu.
Sumber : TEGANUKITA