NILAI: PelumbaTerengganu, Wan Abdul Rahman Hamdan menebus kekecewaan dalam acara lepas beramai-ramai individu lelaki apabila berjaya menaiki podium bagi acara kriterium pada saingan Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022, di sini, hari ini.
Pingat emas diraih atlet berusia 23 tahun itu pasti mencetuskan kegembiraan buat dirinya apatah lagi ia adalah penampilan terakhir pada temasya berkenaan.
“Ini hari terakhir lebuh raya dan kami hanya mampu memenangi emas dalam acara lepas beramai-ramai berpasukan. Kami berada dalam tertekan untuk memenangi emas tetapi apabila pelumba wanita kami menang emas kriterium, ia memberikan kami tambahan semangat,” kata Wan Abdul Rahman.
“Kami tahu pelumba dari Johor adalah pilihan pada kali ini berdasarkan persiapan yang mereka lakukan, kami melalui persaingan sengit ketika perlumbaan. Saya sentiasa memberitahu rakan pasukan supaya tidak mengalah walaupun ketika kami ketinggalan.
“Kami mampu berada di depan pelumba Johor. Walaupun kami dipintas, kami tidak terlalu berada di belakang mereka dan kami berjaya meraih mata untuk memenangi perlumbaan.”
Wan Abdul Rahman meraih emas dengan meraih 19 mata manakala pelumba Johor, Zulhelmi Zainal berada di tempat kedua untuk membawa pulang perak (16 mata). Atlet Perak, Muhammad Yusri Shaari meraih gangsa dengan sembilan mata.
Sebelum itu, rakan senegerinya, Ezzatie Fifiyana Syazwanie Shaiful muncul pemenang emas kriterium wanita dengan meraih 14 mata manakala atlet Selangor, Nurqadrina Emylia Norzali membawa pulang perak. Atlet Wilayah Persekutuan, Yeong Zhen Yi meraih gangsa dengan sembilan mata.
Mengulas lanjut, Wan Abdul Rahman berkata, dia akan memberi tumpuan kepada acara trek yang bakal berlangsung di Velodrom Nasional Nilai bermula Isnin ini.
“Kami berjaya memenangi tiga emas dari acara lebuh raya. Itu satu keputusan yang bagus dan saya harap kami dapat meraih lebih emas dalam acara trek nanti,” katanya yang akan bersaing dalam acara endurance nanti.
SUMBER: Berita Harian