Terengganu Panjat Carta Pungutan Pingat

PUTRAJAYA: Memasuki hari keenam, Kontinjen Terengganu terus konsisten mendaki tangga carta pungutan pingat dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN 2022 apabila mengumpulkan 28 pingat secara keseluruhan dengan 10 Emas 9 Perak dan 5 Gangsa.

Ketua kontinjen, Dato’Tun Faisal Tun Abdul Razak memaklumkan, setakat ini kontinjen Terengganu kekal berada di landasan yang betul dalam mengejar sasaran keseluruhan 57 pingat Emas.

“Kita bermula perlahan disebabkan dua hari pertama saingan, acara dipertandingkan bukan sandaran kita.

“Tetapi, sejak semalam kita sudah mendaki dari tangga ketujuh ke tangga ketiga apabila menang enam Emas dan tiga Perak.

“Lebih baik, kita berjaya mengumpulkan emas dalam acara yang kita sasarkan iaitu berbasikal, olahraga dan memanah.

“Secara keseluruhan, walaupun ada satu dua acara yang kita terlepas, tetapi kita berjaya tampung dengan bonus emas yang diterjemahkan dalam acara lain” katanya.

Tambahnya, terdapat juga acara-acara dipertandingkan hari ini menjadi acara kegemaran pasukan.

“Antaranya basikal lasak (BMX), kanu dan boling padang yang mana kita jangkakan akan membuahkan emas bagi pasukan Terengganu.

“Kita berdoa untuk hari ini dan seterusnya, kita masih kekal konsisten dengan pencapaian sebagaimana dirancang,” katanya.

Previous Article

Kuartet Terengganu ungguli 4×100 meter

Next Article

Keputusan Penuh 18hb September 2022 (Atlet Terengganu)