Emas Ini Untuk Mak

KUALA LUMPUR: Atlet Boling Padang Terengganu, Nor Zamziezah Ahmad, bangkit dari kekecewaan selepas kehilangan ibu tercinta pada tahun 2020, dengan meraih pingat emas dalam acara perseorangan wanita pada Sukan Malaysia SUKMA XX MSN, hari ini.

Sebelum ini, kehilangan ibu akibat jangkitan kuman dalam darah, seminggu sebelum negara dilanda pandemik COVID-19, hampir membuatkannya meninggalkan sukan boling padang.

Dalam acara yang berlangsung di Kompleks Sukan Bukit Kiara, gadis berusia 22 tahun itu mendedikasi pingat emas yang dimenanginya buat arwah ibunya, Rohani Karim.

“Pertama, ini untuk arwah mak saya, arwah mak kuat semangat membesarkan kami lima beradik selama hampir 20 tahun tanpa ayah yang pergi ketika saya berumur tiga tahun.

“Waktu itu, saya rasa ingin berhenti bermain dan sudah mula jarang turun berlatih kerana emak adalah penyuntik semangat saya.

“Saya kembali bangkit sebab saya sedar selain adik-beradik, pasukan ini juga adalah keluarga saya,” katanya.

Beraksi dalam acara kegemarannya, Zamziezah ketinggalan tiga kali sebelum bangkit untuk menang ke atas atlet Kedah dengan skor 20-13.

Beliau yang tampil tiga kali di pentas SUKMA, pernah meraih emas dalam acara Triples pada 2018.

“Saya memang sasar emas, dari awal sampai di sini saya memang ingin menyumbang dalam penampilan terakhir kali ini.

Sebenarnya tidak jangka akan menang, tetapi ketika ketinggalan tadi, saya masih mampu bertenang dan percaya masih boleh bangkit mengejar.

“Saya kuat sebab ini adalah jalan saya, terima kasih jurulatih yang sentiasa sokong dan bantu seperti keluarga sendiri membuatkan saya dapat bangkit,” katanya.

Atlet yang berasal dari Batu Buruk itu turut berharap kesungguhannya dapat menarik perhatian pengendali skuad kebangsaan.

“Jika diberi peluang beraksi di skuad kebangsaan, saya mahu dan akan cuba sebaik mungkin,” katanya.

Previous Article

Keputusan Penuh 19hb September 2022 (Atlet Terengganu)

Next Article

Menembak Bidik Pingat Pertama