Menembak Bidik Pingat Pertama

SUBANG: Pasukan menembak Terengganu semakin bersemangat mempamerkan aksi dalam Sukan Malaysia SUKMA XX MSN apabila berjaya meraih pingat pertama mereka dalam saingan di Lapangan Menembak Subang, hari ini.

Gandingan Nik Mohamad Luqman, Nur Muhamad Rifqi dan Amir Taqiuddin berjaya membidik 1,570 mata untuk merangkul pingat perak dalam acara 25M Standard Pistol berpasukan lelaki.

Pengurus pasukan, Ahadi Othman bagaimanapun berpuas hati dengan aksi anak buahnya.

“Setakat hari kedua acara, kita beraksi baik. Walaupun bukan acara sasaran hari ini, kita dapat menghasilkan pingat.

“Dengan pingat yang diraih hari ini, ia menambah semangat atlet. Lebih-lebih lagi, menteri besar Terengganu ada hadir menyaksikan kami hari ini.

“Kita juga masih menanti baki empat hari lagi untuk mengejar sasaran iaitu dua emas,” katanya.

Dalam acara tersebut, perbezaan 33 mata membolehkan pasukan Pahang menggungguli emas dengan 1,603 mata manakala, Negeri Sembilan meraih gangsa.

Previous Article

Emas Ini Untuk Mak

Next Article

Sharul Aimy Bantu Gimnastik Tuai Tiga Emas