KUALA TERENGGANU: Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu tidak mahu warga sukan di negeri ini menjadi punca kepada kegagalan rantaian virus pandemik COVID-19 diputuskan.
Sehubungan itu, beliau mengingatkan atlet negeri ini khususnya kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) supaya mengikut prosedur operasi standard (SOP) walaupun kerajaan sudah memberi membenarkan latihan di luar rumah bagi sukan tertentu yang tidak membabitkan permainan perhimpunan dan sentuhan.
Beliau bagaimanapun mengakui, setakat ini MSNT belum lagi membuat arahan secara rasmi dan mengeluarkan garis panduan berhubung perkara itu bagi membenarkan sukan yang boleh berlatih di luar rumah.
Ibni Amin berkata MSNT akan mengeluarkan arahan secara rasmi selepas mendapat SOP daripada Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Namun begitu latihan di rumah tidak akan terhenti sebaliknya berjalan seperti biasa mengikut jadual yang sudah dirancang.
“Sekarang kita belum lagi keluar arahan bagi sukan-sukan yang boleh berlatih di luar untuk memulakan latihan secara rasmi lagi. Jika ada ianya adalah daripada inisiatif jurulatihnya sendiri.
“Kita akan memberi arahan rasmi selepas mendapat SOP setiap sukan daripada KBS melalui Majlis Sukan Negara (MSN) terlebih dahulu yang saya difahamkan dalam peringkat persiapan akhir. Kemudian baharu kita akan berikan arahan secara rasmi kepada sukan-sukan yang dibenarkan.
“Namun begitu latihan persendirian tetap diteruskan dari rumah masing-masing,” katanya.
Sumber : BERITA HARIAN
Oleh: Malik Muhamad
Foto : Mohd Syafiq Ridzuan Ambak