Jijoe Lebih Tenang Tanpa Tekanan

Azizul Hasni

BERLATIH dan terus berlatih tanpa sebarang kejohanan tidak mengganggu mental jaguh berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang malah dia mengakui bersikap tenang dan menuruti segala perancangan jurulatih, John Beasley.

Menurut juara dunia 2017 itu, mereka hanya kekal tenang dan mengikut situasi semasa walaupun kebanyakan perlumbaan trek sepanjang Julai serta Ogos hanya membabitkan kejohanan kebangsaan di beberapa negara.

“Memang kita tidak boleh berbuat apa-apa sekarang. Hanya mengubahsuai sedikit corak latihan berdasarkan perubahan yang berlaku di sekeliling.

Momentum pun tidak terjejas kerana paling penting kami masih lagi boleh menggunakan velodrom,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik Rio 2016 itu mengakui jika tidak dapat menggunakan velodrom mungkin ia sedikit akan mengganggu latihan mereka.

Selepas kembali normal, Melbourne terpaksa mengetatkan kembali perintah berkurung bermula minggu lalu apabila jumlah kes Covid-19 meningkat.

Setakat ini, skuad trek negara yang berpangkalan di sana sudah tiga minggu berlatih di velodrom dan hanya sekali melakukan latihan kecergasan di gimnasium Sabtu lalu, namun sekarang mereka tidak boleh lagi berlatih di lokasi berkenaan.

“Isu mudarat akibat terlebih latihan tanpa sebarang kejohanan juga bukan satu masalah buat kami kerana Beasley sudah dari awal melakukan struktur serta perancangan latihan yang bersesuaian.

“Selepas disahkan Olimpik ditunda, Beasley memang melakukan perubahan kepada program latihan dan kami hanya mengikut perancangan baru itu.

“Kita punya misi adalah masih fokus kepada Olimpik tahun depan kecuali kalau temasya itu dibatalkan. Itu sebab pentingnya latihan betul agar ia tidak memudaratkan kami. Kami juga harus memahaminya dengan lebih mendalam ketika berlatih,” katanya.

Sumber : HMETRO
Oleh : Ferzalfie Fauzi

Previous Article

Aiman Contoh Terbaik Pelumba Muda Terengganu

Next Article

Gimnas Terengganu Sasar 3 Pingat Emas