KUALA TERENGGANU: Jurulatih pasukan sepak takraw Terengganu Turtles, Mohd Futra Abdul Ghani mengaku terkejut dengan tindakan bekas tekong negara, Zulkifli Razak yang menerima tawaran daripada pasukan Kelantan Warriors dalam saingan Liga Sepaktakraw Malaysia (STL) musim ini.
Menurut Futra pada masa sama dia juga sudah mendaftar pemain kelahiran Terengganu itu untuk beraksi dalam saingan liga berprestij dalam negara yang bakal berlangsung pada 2 September ini.
Menurutnya dia meletak harapan pemain itu dapat memperkuatkan Terengganu musim ini dalam misi mengembalikan semula kegemilangan pasukan yang sebelum ini antara pencabar terkuat dalam STL.
“Saya terkejut bila dimaklumkan pemain itu menerima tawaran daripada pasukan Kelantan Warriors kerana pada masa sama kita juga sudah mendaftar pemain itu untuk beraksi bersama kita musim ini.
“Saya tidak mahu komen lebih-lebih, dalam hal ini saya juga menanti apa reaksi seterusnya daripada pihak persatuan supaya tidak ada percanggahan maklumat.
“Apa yang boleh saya perkatakan adalah saya mengharapkan kes ini dapat diselesaikan dengan baik dan profesional demi karier pemain itu dan juga mengelak kekeruhan antara kedua-dua persatuan sepak takraw negeri,” kata Futra.
Bekas perejam emas kebangsaan itu berkata, pengalaman Zulkifli di pentas antarabangsa ditagih dalam memacu kejayaan pasukan yang dibimbingnya musim ini.
“Sebagai jurulatih kami mahu pengalamannya yang pernah membawa negara mengutip pingat emas bermain dengan pasukan Terengganu Turtles musim ini memandangkan dia bekerja dengan kerajaan negeri Terengganu.
“Jadi sekurang-kurangnya pengalaman Sobey (panggilan mesra untuk Zulkifli) itu dapat membantu Terengganu mencipta kejayaan pada tahun ini selepas sedikit suram pada musim lalu,” katanya.
Pada Jun tahun lalu, Sobey dan Mohd Syahir Rosdi menerima perkhabaran duka apabila digantung oleh Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) selama sembilan bulan – selepas membuat rayuan berbanding hukuman asal dua tahun.
Mereka digantung atas alasan disiplin dan dilarang beraksi dalam kejohanan atau pertandingan sepak takraw sama ada dalam dan luar negara kecuali mewakili kelab dan majikannya.
Bagaimanapun gandingan yang pernah membantu skuad negara muncul juara selepas menamatkan penantian selama 24 tahun dalam Sukan Asia itu menafikan dakwaan berkenaan.
Sumber : BERITA HARIAN
Oleh : Malik Muhamad