Kuala Lumpur: Bekas ratu pecut berbasikal negara, Fatehah Mustapa mempunyai misi besar iaitu melahirkan lebih ramai atlet berbasikal wanita negara yang mampu menyerlah di peringkat tertinggi iaitu Olimpik.
Beliau kini dipertanggungjawabkan sebagai pembantu kepada Ketua Jurulatih Program Pelapis Kebangsaan Soud Hussain yang akan menjelajah keseluruhan negara untuk mencari bakat baru dalam sukan itu.
Justeru Olimpian negara itu mencabar pelajar perempuan yang berusia 13 hingga 15 tahun untuk menyertai Program Pencarian Bakat bagi sukan berbasikal negara di bawah program pelapis untuk mencuba nasib.
“Syukur MSN (Majlis Sukan Negara) masih percaya pada saya. Tanggungjawab saya kini lebih besar iaitu mencari pelumba baru sebagai pengganti saya.
“Ini akan menjadi pembakar semangat dan cabaran buat saya untuk mendapatkan pelumba bertaraf dunia dan mungkin lebih baik daripada saya seterusnya menjadi atlet berbasikal wanita negara yang pertama membawa pulang pingat di Olimpik,” katanya.
Kemampuan Fatehah sebagai pelumba tidak dapat dinafikan dan hingga kini masih belum ada mana-mana pelumba wanita negara melakarkan kejayaan sepertinya selepas memutuskan untuk meninggalkan kerjayanya sebagai atlet dan memilih untuk bersara pada usianya 31 tahun.
11 tahun berkelana di Melborune, Fatehah adalah pelumba wanita pertama negara yang pernah beraksi di pentas Olimpik London dalam acara keirin dan acara pecut di Olimpik Rio.
Aksinya turut mencuri tumpuan apabila meraih gangsa dalam acara pecut di Sukan Komanwel Glasgow selepas tewas kepada Jass Varnish.
Ketika ini masih tiada pelumba yang boleh menandingi kejayaan Fatehah yang pernah muncul juara Asia selepas meraih emas dalam acara pecut di New Delhi pada 2013 sehingga digelar ratu trek negara.
“Jika saya boleh kenapa anda tidak. Ini adalah peluang untuk anda mencuba dan bergelar atlet negara. Ia adalah batu loncatan bagi atlet remaja ini ke program elit nanti.
“Pada usia saya 14 tahun saya sudah belajar berdikari. Pada umur 18 tahun saya dipilih untuk menjalani latihan di Australia. Saya belajar menjadi kuat. Ibu bapa di luar sana tidak perlu bimbang kerana akan ada pihak yang akan menguasai anak-anak anda,” katanya.
Sumber : MYMETRO
Oleh : Aida Adilah Mat