KUALA TERENGGANU, 13 Oktober – Persaraan Ibni Amin Busu daripada jawatan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) disifatkan satu kehilangan besar buat penggiat sukan dan atlet di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, persaraan itu akan dirasai warga MSNT berikutan kepakaran, ilmu pengetahuan dan pengalaman luas dimiliki Ibni Amin dalam memimpin atlet Terengganu mencapai beberapa kejayaan cemerlang.
“Saya percaya ramai warga MSNT terutama yang pernah berkhidmat di bawah seliaan Ibni Amin akan merindui keperibadian beliau yang tampak bersahaja tetapi tegas ketika menjalankan tugas.
“Kepakaran, ilmu pengetahuan dan pengalaman luas menyerlahkan aura kepemimpinan beliau, sekali gus membolehkan visi jabatan di bawah pimpinannya dapat dilaksanakan dengan cemerlang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman hari ini.
Wan Sukairi berkata, antara kejayaan yang pernah dilakukannya ketika memegang jawatan pengarah MSNT adalah membawa Terengganu menjuarai Sukan Malaysia beberapa tahun berturut-turut.
“Cabaran memang berbeza pada setiap tahun, namun ketika beliau komited dengan tugasan hingga melakar banyak kejayaan buat negeri
“Semasa pentadbiran beliau juga, ramai atlet berprofil tinggi berjaya dilahirkan,” katanya.
Sumber : TRDI.my
Oleh : Husaif Mamat