Kuala Lumpur: Ramadan kali ini disambut penuh warna-warni oleh pelari pecut wanita negara, Azreen Nabila Alias.
Mengakui Ramadan kali ini begitu berbeza buat dirinya kerana tidak dapat berpuasa dan berhari raya bersama keluarga namun ia pasti pengorbanan itu bukan satu yang sia-sia.
Katanya, dia kini dalam persediaan untuk menghadapi temasya Sukan Sea dan peluang berhari raya bersama keluarga itu adalah mustahil.
Justeru dia hanya menempuh jadual seperti kebiasaannya sebagai seorang atlet iaitu berbuka puasa di dewan makan dan menjalani latihan pada sebelah petang atau malam selepas tarawih.
“Sekarang ini saya dalam persediaan untuk menghadapi Sukan Sea. Semua atlet akan berkampung di MSN (Majlis Sukan Negara) untuk kem latihan pusat.
“Memang satu yang mustahil untuk saya berhari raya bersama keluarga kali ini.
“Tapi tak mengapa, demi negara saya korbankan raya tahun ini,” katanya yang turut berdepan situasi yang sama tahun lalu apabila tidak dapat berhari raya bersama keluarga kerana membuat persiapan menghadapi Sukan Olimpik, Tokyo.
Ditanya apa yang paling dirindui apabila tibanya bulan Ramadan, Azreen yang memberikan impak apabila layak ke saringan kedua ketika temasya Olimpik Tokyo Ogos tahun lalu berkata, waktu berbuka puasa bersama keluarga antara detik yang dinantikan.
“Sudah lama saya tak dapat berbuka bersama keluarga. Sebenarnya dapat berbuka bersama keluarga itu satu saat yang paling best.
“Terutama atlet macam saya yang jarang dapat bersama keluarga lebih-lebih lagi apabila saya sibuk menjalani latihan di sini untuk menghadapi kejohanan akan datang,” katanya.
Azreen akan membuat penampilan kedua di temasya dwi tahunan kali ini disenaraikan dalam acara 4x100m wanita bersama-sama Zaidatul Husniah Zulkifli, S Komalam Selly; Siti Fatima Mohamad; Nur Aisyah Rofina Aling dan Nor Sarah Hadi.
Berdasarkan catatan terbaik musim ini, Azreen kini di kedudukan ketiga senarai pelari terbaik negara selepas mencatatkan 11.90s di belakang Zaidatul Husniah, 29, mempunyai pencapaian terbaik dengan catatan 11.62s, diikuti dua atlet berusia 22 tahun – Nor Sarah Adi (11.89s) serta Fatin Ilyana (11.97s).
SUMBER:HARIAN METRO