Aisyah mahu teruskan momentum di ACC

Kuala Lumpur: Pelumba basikal wanita negara, Nur Aisyah Mohamad Zubir mahu meneruskan kayuhan cemerlang dengan menjadikan Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di New Delhi, India sebagai medan seterusnya dari 18-22 Jun ini.

Terdahulu, Aisyah berjaya memenangi pingat perak di Sukan Sea Hanoi dalam acara lebuh raya sebelum memenangi dua lagi pingat emas dalam Kejohanan Berbasikal Kebangsaan, di Velodrom Nilai, bulan lalu.

Katanya, dia kini dalam proses menyesuaikan diri dalam acara trek itu dengan kemungkinan menyertai 3 kilometer (km) kejar-mengejar.

“Prestasi saya setakat sekarang OK sebab sebelum kita pergi Sukan Sea, saya banyak latihan lebuh raya sebab memang kita fokus kepada acara lebuh raya. Trek ini pun saya dah lama tak naik, kali terakhir pertandingan kebangsaan tahun lalu.

“Saya tengah nak dapatkan ‘mood’ (berlumba di trek) sekarang dan bukan mudah sebab dah lama tinggal,” katanya yang boleh beraksi dalam dua jenis perlumbaan sama ada perlumbaan di lebuh raya ataupun di trek velodrom.

Ditanya tentang sasarannya di ACC di India nanti, dia tidak meletakkan harapan tinggi namun akui prestasinya ketika ini di tahap terbaik.

“Kalau ikutkan saya tak tahu lagi (sasaran), sebab saya dah lama tak kayuh trek. Saya nak dapatkan ‘mood’ itu dulu,” katanya yang memecah rekod kebangsaan dalam 3km kejar-mengejar acara trek di Nilai, bulan lalu.

Pelumba Terengganu itu memecahkan rekod miliknya sendiri dengan mencatat 37 minit 47.488 saat untuk memadamkan 37.47.638 yang dilakukan di Piala Negara-Negara di Cali, Colombia tahun lalu.

SUMBER : Harian Metro

Previous Article

Terengganu Juara Kejohanan Judo Kebangsaan

Next Article

Kontinjen Sukan Sea Terengganu Terima ‘Durian Runtuh’