PUTRAJAYA: Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah menyatakan pembangunan sukan anak negeri perlu diberikan lebih tumpuan pada masa hadapan.
“Alhamdulillah, sepanjang Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN ini berlangsung, setakat ini kontinjen Terengganu masih komited mengejar sasaran pingat sesuai perancangan.
“Namun, untuk akan datang, saya melihat kita perlu lebih memberi penekanan dari sudut penyertaan atlet dalam kejohanan yang diadakan samada di peringkat negeri atau luar.
“Banyaknya pendedahan itu sangat penting untuk mematangkan lagi para atlet, orang kata untuk menghilangkan perasaan gelabah, bimbang, gugup dan sebagainya,” katanya.
Menurutnya, sebagaimana yang diumumkan menteri besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, sukan merupakan segmen yang sangat penting untuk negeri Terengganu.
“Gelaran ‘Kuasa Sukan Baharu’ yang diberikan pada 2018 itu sudah pasti akan kita cuba pertahankan.
“Ia menuntut satu komitmen bukan sahaja kepada semangat dan kesungguhan tetapi juga kewangan daripada kerajaan.
“Bagaimanapun, menteri besar jelas menyatakan sebelum ini bahawa kerajaan sedia melabur bukan sahaja bagi menjadikan Terengganu sebagai negeri kuasa sukan tetapi juga pembekal atlet kepada negara sehingga ke peringkat antarabangsa.
“Insya-Allah, pelaburan itu akan terus kita lakukan,” jelasnya.
Sementara itu, Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Terengganu, Tengku Seri Bijaya Raja turut menyeru sokongan dan doa dari seluruh rakyat Terengganu dalam memperkuatkan usaha Hanelang Warrior mempertahankan kejuaraan SUKMA.
“Ada harapan untuk kita capai anggaran pingat yang kita sasarkan, tetapi tidak dinafikan ada beberapa negeri memberikan cabaran yang hebat.
“Hari ini, ada beberapa acara besar lagi di trek berbasikal dan venue lain, jadi kita mengharapkan sokongan secara langsung dan tidak langsung untuk membantu atlet kita,” katanya.