PUTRAJAYA: Terengganu jatuh ke tangga ketiga carta pungutan pingat Sukan Malaysia SUKMA XX MSN semalam setelah Wilayah Persekutuan mengutip 45 emas untuk berada di tangga kedua.
Menurut Timbalan Ketua Kontinjen (DCDM) 1, Ab Rasid Jusoh, keputusan itu tidak perlu menjadi kegusaran para atlet.
Jelasnya, kontinjen negeri itu masih memiliki peluang mencapai sasaran ditetapkan kerana hari ini merupakan hari terbesar bagi sasaran pingat Terengganu.
“Walaupun kita jatuh ke kedudukan ketiga semalam, tetapi pingat yang disasarkan paling banyak adalah pada hari ini, iaitu sebanyak 14 pingat emas.
“Kita perlu berdoa supaya atlet kita bersedia untuk bertarung hari ini, berikan sokongan kepada mereka dalam apa jua bentuk.
“Juga, jangan lupa kita akan bersaing merebut ibu pingat iaitu dalam acara bola sepak malam ini.
“Sekiranya kita berjaya juara, ia sedikit sebanyak mengubat harapan rakyat Terengganu,” katanya.
Beliau yang merupakan ketua pegawai eksekutif Terengganu FC Sdn. bhd. itu menambah, berdepan hari penting semestinya harapan tinggi disandarkan kepada para atlet.
“Usah bimbang dari segi kedudukan, kita hormat pada Johor kerana mereka telah jauh ke hadapan, apa yang penting adalah mencapai sasaran kita dan saya yakin insya-Allah akan tercapai.
“Dengan penjadualan secara berstruktur, hari inilah ‘peaking’ mereka (yang bertanding).
“Pengalaman dan strategi yang dibuat sebagaimana tahun 2018, diyakini akan terus membuahkan hasil kepada kita,” katanya.
Memasuki hari kedua terakhir, Terengganu menyasarkan 14 emas, 5 perak dan 7 gangsa hari ini menerusi acara berbasikal, angkat berat, menembak, silat ,tinju dan pelayaran.
Manakala, Terengganu masih berpeluang mengutip emas dalam acara bola sepak dan tenis.