KUALA TERENGGANU, 11 Mac- Jaringan tunggal pertahanan kelahiran Uzbekistan, Sardor Kulmatov membantu Terengganu FC menang 1-0 dalam perlawanan Liga Super Malaysia menentang pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM FC), sebentar tadi.
Bermula dari sepakan sudut oleh Muhammad Hairiey Hakim, Sardor melakukan tampanan dari ‘near post’ gawang untuk memecah kebuntuan jaringan tuan rumah pada minit ke-76.
Jaringan pertama itu memastikan Terengganu FC memungut tiga mata dan mendaki ke kedudukan keenam liga.
Pada aksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Sang Penyu rancak melakukan serangan untuk memburu jaringan awal.
Ketandusan jaringan memaksa Tomislav Steinbruckner melakukan rombakan ketara dalam barisan kesebelasan utamanya dengan menggugurkan duo Croatia, Ivan Mamut dan Damagoj Pusic.
Jordan Mintah diberi kepercayaan mengemudi serangan sementara Habib Haroon dan Nik Muhammad Sharif Haseefy kembali dalam pasukan.
Pada masa kecederaan separuh masa pertama, penjaga gol PDRM FC, Mohamad Ramdhan Ab Hamid dilayangkan kad merah setelah mengasari Jordan Mintah, memberikan kelebihan kepada tuan rumah.
Namun, tiada sebarang jaringan berjaya dihasilkan Terengganu FC.
Memasuki babak kedua, pelawat yang kekurangan seorang pemain mempamerkan corak bertahan untuk mencuri satu mata dari Gong Badak.
Bagaimanapun, jaringan tunggal Sardor melenyapkan hasrat itu dan memberi motivasi kepada pasukan Terengganu FC menjelang aksi bertandang ke Paroi menentang Negeri Sembilan FC, minggu depan.
SUMBER : TRDI