Pasukan berbasikal Terengganu sasar dominasi Sukma 2022

Sepang: Pasukan berbasikal Terengganu menyasarkan 12 pingat emas pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) edisi ke-20 yang akan bermula 16 hingga 24 September ini.

Bapa angkat pasukan berbasikal Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Mohamed berkata, seramai 15 atlet lelaki dan 10 wanita menyertai sukan ini membabitkan empat acara utama terdiri dari lebuhraya, BMX, trek dan basikal bukit.

Menurutnya, pasukan ini diketuai oleh Ahmad Azizi Zulkifli manakala Ahmad Sabri Mustaffa sebagai pengurus pasukan serta dibimbing oleh 10 orang jurulatih.

Katanya, untuk rekod pada Sukma 2018 di Perak, pasukan itu berjaya menyumbang pingat terbanyak iaitu 14 emas, 13 perak dan empat gangsa sekali gus membantu kontinjen negeri merealisasikan misi ‘Win Back Mission’ pada tahun itu.

“Sekiranya dapat meraih lebih daripada jumlah sasaran ia akan menjadi bonus kepada pasukan dan kontinjen negeri,” katanya kepada media ketika hadir pada Majlis Makan Malam Bersama Pasukan Berbasikal Terengganu Sukma ke-20 di Hotel Sama Sama, hari ini.

Pelantikan Ahmad Amzad sebagai ‘Bapa Angkat’ pasukan berbasikal Terengganu dipersetujui Kerajaan Negeri dan dimulakan sejak 2012 sempena Sukma Pahang.

Terengganu menjadi negeri pertama yang menggunakan pendekatan ini dan sebelum ini Kerajaan Negeri juga bersetuju melantik wakil-wakil rakyat, Ketua-Ketua Jabatan Kanan Negeri dan Persekutuan sebagai Bapa Angkat kepada sukan-sukan yang disenaraikan menyertai Sukma.

Selain itu Jabatan-Jabatan Negeri dan Persekutuan juga dilantik sebagai Jabatan Angkat kepada sukan-sukan yang disertai pasukan negeri ini.

Ahmad Amzad yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi Dan Inovasi (MOSTI) merangkap Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, sebagai tanda sokongan kepada pasukan ini beliau turut menghulurkan sumbangan berjumlah RM10,000 sebagai motivasi dalam melaksanakan misi mengekalkan kejuaraan Sukma tahun ini dengan tagline ‘2022 Victory Mission’.

Menurutnya,pasukan berbasikal ini telah berada di Nilai, Negeri Sembilan sejak 13 Ogos lalu bagi menjalani latihan intensif dan penyesuaian gelanggang.

SUMBER: Harian Metro

Previous Article

Jadual Pertandingan Sukan Malaysia XX MSN 2022

Next Article

Sukma: Terengganu bangkit ikat Sabah