KUALA LUMPUR: Terengganu mengesahkan tempat ke suku akhir acara bola sepak Sukan Malaysia (SUKMA) 2022 selepas menewaskan pasukan jiran, Kelantan 2-0, sebentar tadi.
Pada aksi yang berlangsung di Stadium UKM, jaringan Aqil Asyrah Awang pada minit ke-30 dan ledakan Iman Zaidi Sulong minit ke-85 memberi kemenangan bermakna buat skuad Pantai Timur itu.
Terengganu yang terikat 2-2 dengan Sabah pada aksi pertama, Selasa lalu berada di kedudukan teratas Kumpulan C dengan mengumpul empat mata.
Kelantan yang kini tanpa sebarang mata, wajib menang pada perlawanan terakhir kumpulan apabila akan membuat perhitungan berdepan Sabah, Sabtu ini.
Sementara itu, di Stadium Mini UNITEN, Pulau Pinang turut mengesahkan slot ke suku akhir selepas menewaskan Perlis 1-0 dalam aksi sulung mereka bagi Kumpulan D.
Jaringan Danial Irfan Nadzri pada minit ke-24 sudah cukup untuk memastikan Pulau Pinang meraih tiga mata pertama dan memimpin kumpulan, sementara Perlis kini berkongsi satu mata bersama Kedah.
Kekalahan Perlis itu menyaksikan Kedah hanya memerlukan keputusan seri pada aksi terakhir kumpulan berdepan Pulau Pinang, Sabtu ini untuk turut mara ke suku akhir.
Ketua jurulatih Pulau Pinang, Akmal Rizal Rakhli menjelaskan pasukannya tetap akan tampil dengan persembahan terbaik untuk berdepan Kedah nanti walaupun sudah mengesahkan tempat ke suku akhir.
“Semangat juang pemain sangat baik. Saya mesti memberi kredit kepada penjaga gol serta barisan pertahanan yang beraksi dengan disiplin hingga kami tidak melepaskan gol.
“Kami sudah layak ke pusingan kalah mati, namun saya perlu menilai semua pemain kerana kami tidak mahu kalah berdepan Kedah,” katanya.
SUMBER: Berita Harian