Geram Tapak Kasut Tercabut, Amirul ‘Ceduk’ Lawan

PUTRAJAYA: Petinju Terengganu, Amirul Hakim Sakila mara ke perlawanan akhir setelah melakukan Technical Knockout (TKO) ke atas petinju Kedah, Muhammad Arief Abdullah dalam pusingan separuh akhir Light Flyweight 57-60kg (L) pada Sukan Malaysia SUKMA XX MSN hari ini.

Sewaktu pusingan pertama di Gelanggang Futsal Malaysia Presint 18 itu, Amirul terjatuh ketika cuba menumbuk lawan akibat tapak kasutnya tercabut.

“Kasut ini memang kasut lama yang dipakai sejak SUKMA Perak, tetapi saya lebih selesa menggunakannya kerana kasut baru agak berat.

“Syukur momentum saya tidak terganggu dan berjaya melakukan TKO pada pusingan kedua.

“Selepas kemenangan ini, saya rasa lebih yakin dan akan cuba tampil lebih bersemangat pada final nanti,” katanya.

Amirul menumbangkan Arief dengan tumbukan ceduk yang tepat ke dagu, sebelum pengadil menghentikan perlawanan dan menghadiahkan kemenangan kepadanya.

Selain Amirul, dua lagi petinju Terengganu turut mara ke perlawanan akhir iaitu Halim Izani Sulaiman (Welter weight 63.5-67kg) dan Wan Muhammad Haniff Wan Zahalan (Cruiser weight 80-86kg)

Lebih menarik, Wan Muhammad Haniff berjaya menumbangkan lawan dari Sarawak dengan TKO pada masa kurang dua minit di pusingan pertama.

Previous Article

Libas Dua Emas, Sepak Takraw Intai Hatrik

Next Article

Keputusan Penuh 22hb September 2022 (Atlet Terengganu)