Prestasi Terengganu Merudum?

PUTRAJAYA: Benarkah prestasi atlet Terengganu merudum dalam Sukan Malaysia SUKMA XX MSN kali ini? Mantan Pengarah Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Ibni Amin Busu mempunyai perspektif tersendiri dalam hal ini.

Jelasnya, pembangunan prestasi atlet yang dibangunkan MSNT sebenarnya telah menjadi ikutan negeri-negeri lain pada tahun-tahun terakhir ini.

“Pendahulu carta, kontinjen Johor sendiri pun belajar daripada kita, cuma mereka buat dengan lebih baik berbekalkan sokongan kewangan lebih besar.

“Pitching atau peak mereka dijangka mencapai kemuncak pada 2020 dalam perancangan sebagai tuan rumah SUKMA, jadi mereka bawa momentum dari sanakali ini.

“Johor buat pembangunan semua jenis sukan secara besar-besaran, jadi kita sukar bersaing pungutan pingat kerana mereka ada ‘back-up’ dari acara-acara selain lubuk mereka,” jelasnya.

Ibni Amin yang hadir sebagai salah seorang penasihat dan pemerhati kontinjen Terengganu menyatakan bahawa prestasi atlet Terengganu masih di tahap terbaik.

sebenarnya negeri lain seperti Johor mengikut program pembangunan yang kita laksanakan, apa yang kita buat mereka buat.

“Cuma, kita kekurangan kejohanan dan pengalaman dalam saingan bertaraf antarabangsa.

“Seperti kanu, dulu jadi lubuk emas kita. Tetapi Johor membina pembangunan lebih awal, ditambah pula dengan latihan di luar negara serta mendapat tunjuk ajar bekas jurulatih Terengganu yang berasal dari Hungary, Viraq Tibor yang kini bersama mereka.

Dengan peningkatan ketara kontinjen Johor dalam hampir semua jenis sukan, Ibni Amin menasihati atlet Terengganu terus komited memberikan aksi terbaik.

“Prestasi kita masih berada di tahap sama. Begitu juga basikal, kita masih lagi kuat.

“Peningkatan ketara negeri Johor adalah atas faktor persediaan mereka sebagai tuan rumah.

“Pada tahun 2024, dijangkakan saingan akan kembali terbuka dan kalau kita dapat ambil kesempatan itu, maka kita akan dapat menguasai kembali sukan-sukan yang tercicir kali ini,” katanya.

Previous Article

Terengganu merendah diri berdepan Pulau Pinang di final

Next Article

Usah Gusar, Teruskan Dengan Sasaran Kita