PUTRAJAYA: Atlet Judo Terengganu, Muhammad Syameer Norman Mohd Zaid menunjukkan semangatnya apabila turun bertarung menggunakan sebelah tangan walaupun mengalami kecederaan siku pada Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN, semalam.
Beliau yang cedera di peringkat separuh akhir dalam kategori Men’s 55kg, bangkit menewaskan lawan dari Selangor untuk meraih gangsa dalam penentuan ketiga dan keempat.
Pengurus pasukan, Wan Mohd Hamidi Wan Harun berkata, secara keseluruhan pasukannya menutup tirai sukan Judo dengan empat pingat emas dan sembilan gangsa.
“Setakat ini, skuad Judo menepati sasaran ditetapkan iaitu lima emas. Cuma, kita mohon maaf tergelincir satu emas disebabkan kecederaan yang dialami Syameer namun, beliau berjaya mendapatkan dua gangsa.
“Mereka sudah berusaha sebaik mungkin dan setiap sasaran berjaya mendapatkannya, tetapi nasib tidak menyebelahi kami untuk satu lagi emas,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Mohd Hamidi memaklumkan, emas diperolehi menerusi dua acara lelaki iaitu Men’s 66kg (Muhammad Izham Harun), Men’s 90kg (Afiq Danish Zapri) dan dua acara wanita Women’s 48kg (Alyaa Yasmeen Rosali) serta Women’s 70kg (Nur Ain Hafieza Amran)
“Apa yang menggembirakan kita, daripada keseluruhan skuad seramai lapan atlet kita dapat beraksi lagi pada SUKMA 2024 dan ini merupakan gambaran baik kelangsungan bakat Judo Terengganu,” katanya.