PUTRAJAYA: Kontinjen Terengganu meraih 20 pingat emas pada hari kedua terakhir Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN untuk kembali di tangga kedua carta pungutan pingat keseluruhan.
Ketua kontinjen, Dato’Tun Faisal Tun Abdul Razak memaklumkan, setakat ini kontinjen Terengganu telah mengumpul 159 pingat secara keseluruhan dengan 59 emas, 47 perak dan 53 gangsa.
“Alhamdulillah kita dapat 59 emas hari ini, melebihi sasaran awal iaitu sebanyak 57 emas.
“Tetapi, insya-Allah kita tidak berhenti di sini, esok ada sembilan acara lagi yang dipertandingkan.
“Dalam sukan esok, ada dua tiga sasaran emas bonus kita mungkin dapat dihasilkan,” katanya.
Beliau memuji kebangkitan atlet Terengganu yang disifatkan sebagai luar biasa.
“Semalam kita agak perlahan dan dapat lima emas sahaja, jadi jurulatih sukan yang dipertandingkan hari ini diarah meniup semangat kepada atlet untuk bangkit.
“Seperti silat tadi kita berjaya dapat empat emas, mungkin selepas seorang dapat ia memberi semangat kepada rakan-rakan yang lain. Begitu juga dengan situasi di gelanggang tinju.
” Hari ini, disebalik sasaran 14 emas memenuhi jangkaan, kita dapat ekstra pingat emas,” ujarnya.