Azizulhasni Bangga Jadi Atlet Kelahiran Terengganu

azizulhasni olahragawan terenganu

KUALA TERENGGANU, 10 Ogos – Wira olimpik negara, Dato’ Azizulhasni Awang bersyukur dan berbangga kerana menjadi salah seorang atlet kelahiran negeri Terengganu.

‘The Pocket Rocketman’ itu dalam satu kenyataan di Facebooknya berkata, ini kerana kejayaannya meraih pingat perak di sukan olimpik Tokyo baru-baru ini banyak dibantu kerajaan negeri. Tanpa berselindung, Azizul mengakui keprihatinan Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar banyak membantu perkembangan karier beliau.

“Ucapan terima kasih kepada seluruh warga kerajaan negeri Terengganu khususnya Menteri Besar yang sentiasa mengambil berat perihal berkenaan dengan saya dan amat cakna dengan karier lumba basikal saya dan begitu juga dengan atlet-atlet Negeri Terengganu yang lain.

“Terima kasih kerana turut membantu di dalam melincirkan persiapan saya ke Temasya Sukan Olimpik Tokyo kali ini.

“Saya amatlah bersyukur dan berbangga menjadi salah seorang atlet kelahiran Negeri Terengganu. Ganu Hanelang,” ujar Azizul.

Menurut anak kelahiran Dungun itu, kejayaan tersebut merupakan kejayaan terbesar dalam kariernya sebagai seorang atlet negara dan beliau percaya ia juga adalah sejarah baharu buat arena sukan negara. Justeru katanya, peranan Kementerian Belia dan Sukan Negara (KBS) terutamanya Menteri Belia & Sukan Dato Seri Reezal Merican Naina Merican dalam membawa kejayaan itu sangat dihargai.

“Serta seluruh warga Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) yang sentiasa memberikan sokongan penuh didalam perjalanan karier saya.

“Tidak lupa juga kepada Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Tan Sri Norza Zakaria serta seluruh warga MOM dan juga Persatuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) yang membantu melancarkan segala urusan ke temasya Sukan Olimpik Tokyo,” jelasnya.

Dalam perkembangan sama, Azizul turut menghargai jasa penaja-penaja yang menghidupkan karier lumba basikal professional nya terutama penaja CIMB.

“CIMB memberikan kepercayaan penuh akan kebolehan saya dan mereka komited memberikan sokongan bermula pada tahun 2017 sehingga sekarang.

“Begitu juga dengan penaja seterusnya iaitu Daikin dan AirAsia, mereka juga amat komited berdiri teguh di belakang saya. Tidak lupa juga penaja berikutnya iaitu Wattbike, Oakley dan juga OGK Kabuto yang sentiasa bersama ketika jatuh dan bangun saya,” tambah beliau.

Oleh : Husaif Mamat
Sumber : TRDI.my

Previous Article

OLIMPIK: Azizulhasni Hadiah Perak Buat Negara

Next Article

Atlet Wanita Pertama Negara Sertai Kelab Eropah