Terengganu Tekad Kekal Kuasai SUKMA

Team Basikal Terengganu

SKUAD berbasikal Terengganu tekad mahu mengekalkan kuasa dalam sukan itu pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) 2020 yang bakal berlangsung di Johor tahun depan.

Impian itu berdasarkan majoriti pelumba adalah terdiri daripada mereka yang pernah mengutip pingat pada pentas Sukma edisi ke-19 di Perak pada 2018.

Ketua jurulatih, Syed Mohd Hussaini Syed Mazlan berkata, bagi memastikan impian itu tercapai, skuad Terengganu bakal menjelajah ke seluruh pelosok negara pada bulan depan untuk memperkasakan lagi pasukan.

“Kita akan mengadakan kem jelajah pada 4 hingga 16 Ogos depan yang akan bermula di Terengganu-Kuantan- Mersing-Melaka-Nilai-Cameron Highlands-Gua Musang-Tanah Merah-Kota Bharu-Terengganu dalam purata jarak 2,500 kilometer (km).

“Latihan itu bagi memantapkan lagi pelumba dalam misi kita untuk mengungguli pingat sebagai mana edisi terdahulu,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Bersama Pasukan Berbasikal Sukma Terengganu 2020 di Duyung, petang semalam.

Pada majlis itu Persatuan Lumba Basikal Terengganu menerima wang tunai sebanyak RM20,000 yang disumbang Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim dan RM5,000 daripada Majlis Daerah Kemaman.

Antara pelumba yang bakal mengibar cabaran Terengganu termasuk pelumba daripada Pasukan Terengganu Inc TSG Cycling Team ( TSG), Wan Abdul Rahman Hamdan serta empat pelumba daripada Akademi TSG iaitu Muhammad Ariff Redzuan Zulkefli, Muhammad Nasrullah Zakaria, Wan Muhammad Hamizan Ifwat Wan Badrul Fadli dan Zulfadli Iswadi Zainal.

Berdasarkan rekod skuad berbasikal Terengganu yang turut dibimbing sembilan lagi jurulatih adalah juara Sukma sebanyak lapan edisi berturut-turut bermula di Kedah pada 2006 dengan mengutip enam emas diikuti 2008 di Terengganu (10 emas).

Sumber : sukan@hmetro.com.my
Oleh : Malik Muhamad

Previous Article

Tidak Mahu Skrip 2018 Berulang Lagi

Next Article

Terengganu Berkerjasama Dengan Persatuan Sukan Dan IPTA