KUALA TERENGGANU, 12 Oktober – Peserta dari Hong Kong, Australia, Singapura, Thailand dan Malaysia mewarnai Kejohanan Kuda Lasak Piala Sultan Mizan 2019 di Taman Endurance Antarabangsa Terengganu (TIEP) di Lembah Bidong, di sini hari ini.
Kejohanan edisi ke-12 itu disertai 37 peserta lelaki dan wanita termasuk dua pelumba handalan kebangsaan kelahiran Terengganu, Mohd Faris Haikal Mohd Hassan Sa’ari dan Azizatul Asma Datuk Abdullah.
Perlumbaan dalam acara CEI 2* itu melalui jarak sejauh 120 Kilometer dan dijangka akan berakhir pada pukul 5 pagi esok.
Majlis pelepasan peserta bagi acara berkenaan disempurnakan sendiri Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar tepat jam 5.00 petang tadi yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah.
Sementara itu, Mohd Faris yang bernombor 41 dengan kudanya yang diberi nama JQ Tuan Junior pastinya mahu menebus kehampaan tahun lalu apabila sekadar menjadi naib juara selepas tewas kepada Mohammad Fuad yang juga atlet Sukan SEA negara.
Dalam pada itu, Azizatul Asma yang menunggang kuda diberi nama M Traful pula antara peserta pilihan untuk merebut kejuaraan pada kali ini setelah Mohammad Fuad tidak beraksi dalam pertandingan.
Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin dijangka mencemar duli esok bagi acara penyampaian hadiah buat para pemenang.
Kejohanan yang menawarkan banyak hadiah menarik itu bermula sejak semalam dengan pelbagai acara sampingan termasuk sukan rakyat dan ‘street soccer’.
Sumber : TEGANUKITA