
DUNGUN, 15 Oktober – Peminat sukan negeri Terengganu mendapat berita gembira apabila Velodrom Azizul Awang di Balai Besar di sini mula ditender secara terbuka mulai bulan ini.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Keong berkata, velodrom yang dirancang sejak 10 tahun lalu itu dijangka akan siap dua tahun dari sekarang.
“Projek velodrom bernilai RM14 juta itu sudah masuk tender dan dilaksanakan melalui tender terbuka.

“Tender dibuat bulan ini dan prosesnya sudah dimulakan, kita (kerajaan) harap menjelang bulan Disember tahun ini, kerja-kerja pembinaan boleh dimulakan dan dalam masa dua tahun lagi projek itu dijangka siap.
“Jadi saya rasa ini satu berita baik buat orang Terengganu dalam sukan berbasikal,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Pelancaran Sambutan Bulan Sukan Negara Peringkat Negeri Terengganu 2019 di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Terengganu Kampus Dungun di sini hari ini.
Turut hadir dalam sidang itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan Rektor UiTM Cawangan Terengganu Kampus Dungun, Prof Madya TS Dr Mazidah Puteh.

Ustaz Wan Sukairi (kiri) dan Steven Sim (dua dari kanan) beriringan menuju ke pentas pelepasan pelumba basikal antarabangsa ‘The Inaugural Tour of Peninsular (ToP)’ di Dungun hari ini. Steven Sim mengharapkan projek itu berjaya dilaksanakan dalam tempoh tersebut dan dijangkakan perasmiannya akan disempurnakan oleh Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bersama Ustaz Wan Sukairi.
“Moga-moga Exco Belia dan Sukan ada lagilah, mungkin dia naik pangkat mana tahu dan harap menteri yang sama ada lagi, kita akan merasmikan sama-sama velodrom baru di sini dalam masa dua tahun mulai sekarang,” ujarnya.
Menurut beliau, Terengganu sebuah negeri yang terkenal dengan kehebatan dalam sukan berbasikal.
“Tak kiralah basikal trek ataupun basikal ‘highway’, ada pasukan terkenal seperti TSG (Terengganu Cycling Team) dan juga atlet negara seperti saudara Azizulhasni Awang.
“Jadi saya percaya dengan adanya fasiliti ataupun kemudahan ini, kita akan berupaya melahirkan lebih ramai lagi juara atlet seperti saudara Azizulhasni,” ujarnya.
Oleh : Suhaimi Taib
Sumber : TEGANUKITA