Gimnas Terengganu Sasar 3 Pingat Emas

gimnastik_001

Presiden Persatuan Gimnastik Negeri Terengganu, Abdul Razak Mat Amin berkata, sasaran itu dilihat mampu dicapai memandangkan atlet menjalani latihan persediaan sejak dua tahun lalu selepas tamatnya penganjuran Sukma Perak 2018.

Beliau berkata, kelebihan sebahagian besar atlet senior yang masih layak untuk beraksi di Johor dalam temasya dwitahunan itu juga menjadi satu peluang yang baik buat Terengganu.

“Sasaran kita adalah tiga pingat emas, ketika Sukma dua tahun lalu, sasaran kami sama juga cuma kecederaan ketika pertandingan akhir menghalang kami capai sasaran di saat akhir.

“Insya Allah pada kali ini kami yakin mampu untuk capai sasaran, lagipun kini atlet semakin matang dan terdapat atlet kami berlatih bersama atlet kebangsaan,” katanya.

Beliau berkata, selepas program latihan berpusat terhenti berikutan pandemik Covid-19, skuad bawah kendalian ketua jurulatih, Ahmad Akramin Othman kini kembali menyambung rutin latihan dalam suasana normal baharu sejak 15 Jun lalu.

“Dua tahun lalu kami hanya berjaya mengutip satu perak berbanding tiga emas Sukma di Sarawak pada 2016, jadi temasya di Johor nanti atlet mahu menebus kembali sasaran itu,” katanya ketika ditemui pada majlis meraikan skuad gimnastik negeri bersama bapa angkat pasukan ini di Pejabat Daerah dan Tanah Marang semalam.

Turut hadir Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Timbalan Ketua Kontinjen, Ab. Rasid Jusoh dan Pengarah Majlis Sukan Negeri MSNT, Ibni Amin Busu.

Pada majlis ini juga turut disampaikan sumbangan bernilai RM2,000 bagi membantu persiapan pasukan gimnastik negeri.

Sumber : HMETRO
Oleh : Malik Muhamad

Previous Article

Jijoe Lebih Tenang Tanpa Tekanan

Next Article

Futra Terkejut Sobey Pilih Kelantan