
PUTRAJAYA: Program pembangunan dilaksanakan Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT) dilihat mencapai kemuncak pada waktu yang tepat selaras pencapaian atlet dalam Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN ketika ini.
Pengarah MSNT, Ahmad Shahrizal Yahaya berkata, usaha pasukannya membuahkan hasil positif walaupun beberapa kali temasya sukan itu ditunda akibat pandemik COVID-19.
“Sebelum ini, untuk setiap sukan kita ada merangka satu pelan yang mana pelan itu ada satu masa di panggil ‘peaking’ atau kemuncaknya yang kita tetapkan mesti mencapai tahap tertinggi di SUKMA.
“Memang setakat ini, setiap sukan kita berada di tahap yang terbaik. Maknanya, kenalah dengan setiap sasaran ditetapkan,” katanya.
Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua atlet yang bertanding, pengurus, jurulatih setiap sukan kerana sepanjang berlangsungnya SUKMA, mereka menunjukkan satu semangat melawan yang tinggi.
Shahrizal menyifatkan, satu dua acara yang tersasar dari pungutan pingat hanyalah disebabkan masalah teknikal.
“Walaupun terdapat beberapa sasaran kita yang terlepas, namun begitu saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada sukan-sukan yang telah memberi bonus pingat kepada Terengganu.
“Dengannya, kita dapat menampung sasaran yang terlepas itu,” katanya.