Perhalusi Pembangunan Atlet Ke Tahap Tertinggi

PUTRAJAYA: Pembangunan potensi atlet Terengganu perlu dilihat lebih serius oleh kerajaan negeri dalam melahirkan lebih ramai atlet bertaraf antarabangsa.

Timbalan ketua kontinjen SUKMA Terengganu, Zuraida Md. Noor berkata, pembangunan wajar dilakukan di peringkat akar umbi lagi dalam mengumpulkan dan membentuk atlet.

“Dalam mengekalkan prestasi atlet sedia ada, kita perlukan pembangunan sukan dari semua acara.

“Selain itu, pembangunan potensi atlet yang berbakat perlu diambil perhatian sebagaimana pencapaian Syahida Asyiqin Rusli yang meraih empat pingat emas dalam sukan Kanu.

“Pencapaiannya luar biasa. Beliau ada kehendak dan potensi cerah, dia boleh pergi jauh jadi kerajaan perlu mengusahakan pembangunan potensinya untuk ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Dalam pada itu, ahli dewan undangan negeri (ADUN) wanita itu turut memberikan penekanan terhadap panduan pematuhan syariah sepanjang keberadaan atlet Terengganu di Sukan Malaysia (SUKMA) XX MSN ini.

“Atlet-atlet ini, walaupun bersukan mereka masih lagi menjaga adab dan kesopanan, itu antara peranan saya di sini.

“Saya lihat, ia tidak boleh berubah drastik, tetapi kita cuba secara perlahan untuk mewujudkan keselesaan dalam pemakaian mereka ketika bersukan.

“Selain itu, kerohanian juga perlu ditekankan dan dipertingkatkan dari masa ke masa dalam kalangan atlet dan pasukan bagi mengukuhkan kekuatan jiwa,” katanya.

Previous Article

Tendangan KO Hantar Iman Aliff ke ‘Final’

Next Article

Keputusan Penuh 21hb September 2022 (Atlet Terengganu)