KUCHING, 15 Ogos- Pasukan berbasikal menghadiahkan dua lagi pingat emas kepada kontinjen Terengganu di Sukan Malaysia SUKMA XXI setelah memenangi acara lepas beramai-ramai lelaki akhir, hari ini.
Terengganu meraih emas dalam kategori individu dan berpasukan yang diadakan serentak melibatkan laluan sepanjang 144 km.
Bagi kategori individu, Muhammad Iqbal Daniel Muhammad Nawawi meraih menewaskan penunggang Johor, Muhammad Fahim Nazim Muhammad Zaini di tempat kedua.
Manakala, pingat gangsa dimenangi atlet Wilayah Persekutuan, Ren Bao Tsen.
Dalam kategori berpasukan pula, Terengganu turut diwakili Kee Zhe Yie, Mohamad ‘Afi Danial Ramli, Afiq Iskandar Hasyim, Muhammad Aiman Haiqal Mohammad Khairul,
Muhammad Adam Ramdzan Razali dan Ahmad Irfan Abdul Hamid.
Pasukan Hanelang turut mengalahkan seteru utamanya iaitu Johor (kedua) dan Wilayah Persekutuan (ketiga).
Lebih menarik, Terengganu pada awalnya hanya menyasarkan emas berpasukan, ditambah kemalangan yang melanda Kee Zhe Yie seawal pusingan pertama akhirnya berjaya mengejutkan penyokong dengan kilauan emas kategori individu.
Semalam di venue sama, Terengganu telah memperoleh emas pertama melalui Kee Zhe Yie dalam acara ujian masa individu.
Kayuhan emas dari skuad berbasikal menjadi tiga emas pertama diperolehi Terengganu pada SUKMA kali ini.
-TRDI.MY