
KUALA LUMPUR: Atlet Gimnastik kebangsaan, Muhammad Sharul Aimy Mohd Kamaru Hisham menuai tiga emas untuk Terengganu pada aksi dalam Sukan Malaysia SUKMA XX MSN di Bukit Jalil, hari ini.
Atlet kelahiran Marang itu memenangi emas dalam acara kekuda pelana, melombol dan berkongsi emas bersama atlet Pulau Pinang, Ng Chun Chen dalam acara senam lantai.
“Keseluruhan saya puas hati, sudah lama saya tidak main enam acara dan ini yang pertama setelah empat tahun.
“Secara peribadi, saya sasarkan empat emas tetapi ini sudah memuaskan hati saya,” katanya.
Sebelum ini di SUKMA Sarawak, Sharul hanya berjaya meraih Perak dalam acara berpasukan dan di Perak, beliau cedera serta terlepas perlawanan akhir.
Kali ini, atlet berusia 21 tahun itu benar-benar ‘melepaskan geramnya.’
Selain tiga emas, beliau turut merangkul dua pingat gangsa dalam acara palang sejajar dan palang tunggal.
Sharul juga telah memenangi pingat perak dalam acara individu keseluruhan, semalam.
“Selepas SUKMA ini, mungkin saya akan rehat seketika sebelum kembali berlatih untuk kelayakan Olimpik yang menjadi sasaran saya.
“Saya rasa saya akan perlukan lebih kejohanan kerana sering gelabah dalam perlawanan akhir.
“Selain itu, tahun depan saya akan ‘push’ acara-acara melibatkan kekuatan tangan untuk memasti pingat di Sukan SEA nanti,” katanya.